Selasa, November 10, 2009

Ha!

Acapkali Adam ditinggalkan sepanjang November ini. Kerana itu, Daddy tekad ambil cuti dan membawa keluarga berjalan-jalan ke Kuala Lumpur.
Ikan besar di Mines Wonderland... Seronok melihat ikan-ikan di dalam air, hinggakan replika ikan inipun difikirkan 'hidup'!
Suatu ketika berjalan-jalan di tepian pantai. Kejap berhenti memerhatikan ketam. Kejap berhenti mem'fire'kan Daddy. Kejap berhenti melepaskan lelah. Kemudian berlari lagi meninggalkan Daddy dan Mummy di belakang bersama Adik.
"Adam suka tak jalan-jalan dengan Mummy dan Daddy dan Adik?"
Adam angguk-anguk kepala sambil seraya berkata, "Ha!"

Sabtu, Oktober 10, 2009

Adam kena tinggal lagi

Daddy kena pergi kerja lagi. Kali ni memakan masa selama tiga minggu. Tapi Daddy tetap balik bila ada peluang seperti Sabtu lalu.

Adam sakit perut, demam, dan sentiasa buang air besar. Mummy kata Adam dah okay hari ni.

Daddy belikan Adam DVD Ultraman lagi. Daddy kirim kat Mummy bagi kat Adam.

Adam tengok dulu, okay. Minggu hadapan bila Daddy ada di rumah, kita tengok sama-sama sekali lagi.

Jaga diri baik-baik...

Jumaat, September 25, 2009

Raya kali ketiga buat Adam

Raya tahun ini mencatatkan pelbagai emosi di dalam blog Adam.
Pertamanya, Adam seronok sangat apabila dikelilingi saudara yang hampir sebaya dengan dia. Pelbagai aksi dan permainan dapat dia lakukan. Lihat sajalah gambar di bawah, merumuskan kenakalan Adam apabila bersua dengan yang lain. Raya tahun ini dapat juga kami anak-beranak berbaju warna sedondon. Walaupun baju cuma dibeli pasang siap, tapi dapatlah juga merasakan kemeriahannya. Cuma baju Daddy kecil sedikit, jadi tak dapat nak pakai lama-lama. Kini Adam menjangkau usia 2 tahun 9 bulan. Di rumah, dia asyik dengan koleksi cerita-cerita Ultraman serta Upin & Ipin yang disebutnya 'Adam Ipin'. Pelbagai watak kartun seperti Naruto, Ben 10, dan Masked Rider turut menjadi kegemaran Adam.
Adam turut meminati patung watak kartun. Yang paling banyak adalah patung Ultraman. Dan perkataan terbaru yang Daddy dengar Adam gunakan ialah 'poyo'... tepat pada situasinya.
Adam juga minat mengambil gambar. Ini adalah antara gambar yang Adam ambil. Tetapi selalunya gambar yang diambil akan kabur sebab Adam sering meletakkan jari dia atas lensa, jadi nampak jari dia je la.
Semuanya tampak indah sehinggalah insiden di Wet World Batu Pahat pada hari raya keempat lalu. Ketika itu, Daddy, Mummy serta beberapa saudara-mara yang lain berkunjung ke taman hiburan tersebut untuk membawa anak-anak bermain air. Memang ketika itu seronok melihat Adam dan saudara yang lain bermain di kawasan kanak-kanak yang sememangnya cetek sahaja airnya.
Daddy pula tidak bercadang nak turut sama mandi. Lagipun Daddy nak ambil gambar video merakamkan keletah semua yang ada. Mummy pula sibuk menjaga Adik Sarah. Daddy dah perasan ada tiga lorong ke kawasan dewasa bersebelahan tempat kanak-kanak tu. Dua dari lorong tersebut ada penghadang. Tetapi lorong yang di tengah tu terbentang luas.
Daddy sentiasa perhatikan Adam. Daddy pun perasan Adam dah bergerak menuju ke kawasan tersebut. Entah kenapa Adam tak dengar Daddy panggil Adam, melarang Adam ke kawasan dewasa tu. Adam terus meluru masuk ke kawasan sedalam tiga kaki.
Daddy dan Mummy tergamam kejap. Sampaikan ketika tu Daddy terletak Adik Sarah atas lantai yang basah, sebab nak pergi kat Adam. Mujur Makcik Suria ada berhampiran Adam. Dia yang pergi ke arah Adam dan menyelamatkan Adam yang ketika tu memang tercari-cari tempat untuk berpaut.
Geramnya apabila ada pengunjung lain yang tak sampai satu meter jaraknya dari Adam buat tak tahu jerrr dengan situasi Adam. Mungkin juga mereka tak perasan. ~ positif, positif ~
Tapi Adam masih nak mandi lagi selepas diselamatkan. Daddy tak bagi dah. Daddy terus bawa Adam keluar taman air tu dan salin pakaian Adam. Kesian Adam...
Cuma Daddy janji, bila Adam dah besar nanti dan Adik pun dah boleh berjalan, kita akan ke sana sekali lagi, okey!

Jumaat, Ogos 28, 2009

Adam di rumah

Adam ni penyayang orangnya. Kalau orang nak kacau Adik, mesti Abang marah.

Ni pula jadi Batman kembar... dengan Azfar, anak cikgu yang pengasuh jaga seorang lagi.
Ni gambar lama, ada dalam henfon Mummy.

Ok lah, nak update blog Adik pulak.

Ahad, Julai 26, 2009

Kembar Batman

Inilah dia Batman dan kembar beliau. Kedua-dua Batman ni boleh tahan lasaknya. Mula-mula kami belikan satu jer untuk Adam. Tapi kesian pulak kat Azfar, yang turut sama dijaga oleh Mak Adam. Jadi kami belikan satu lagi untuk dia. Padan la dua orang ni.

Rabu, Julai 15, 2009

Adam @ Langkawi

Adam ikut Daddy ke Langkawi pula. Hari pertama dan kedua Adam terperap dalam bilik. Tapi Mummy tetap boleh keluar belikan Adam baju Batman!

Hari ketiga baru Daddy ada masa bawa kami jalan-jalan. Kami sempat tengok ikan besar...
Main rusa...

Naik kereta kabel...

Dan kami keletihan berjalan-jalan...

Adam nakal sepanjang menginap di hotel. Adam selalu kacau Adik Khalish (anak Makcik Cunah). Tapi ada jugak masanya Adam nak main-main dengan dia. Tapi Adam baik... Adam bukan marah tak tentu pasal. Sebab setiap kali Adam marah tu diiringi dengan senyuman. Maknanya Adam nak bergurau la tu.
Esok Adam akan ke rumah Adik Khalish pulak dan duduk di sana sampai Daddy habis kerja 21 Julai nanti.

Selasa, Jun 16, 2009

Nak balik dah

Kami dah nak balik dari Pulau Pangkor dah. Bulan depan mungkin ke Pulau Pinang pula, insya-Allah.